19/04/2016 . Hari
selasa ni akan menjadi hari bersejarah ku. Hari yang mungkin akan menjadi salah
satu penentu hidup dan mati serta masa depan ku. Ini petunjuk dari Allah. Aku
tahu…Cuma berdiam sahaja. Aku sakit jantung yang memerlukan pembedahan besar
dengan menggantikan dua injap besi. Satu injap pula mengalami kebocoran dan
perlu dibaiki. Kehidupan tidak seindah yang aku impikan dari kecil. Harus ada
liku-liku nya yang membawa aku kepada kematangan, tapi bukan ini yang aku sangkakan.
Allah sayangkan aku. Aku tahu itu. Kerna itu, aku berdiam dalam tawa. Apa yang
aku cuba sampaikan sebenarnya dalam kehidupan ini? Banyak kali aku menoleh
mencari keinginan. Apa yang aku harapkan dari Tuhan? Sedangkan aku tidak
menyatakannya. Sakit ini sangat sakit. Kenapa kau amoi masih
berlari,tersenyum,ketawa,bergurau,berjalan ? Kenapa tidak nyatakan kepada
mereka? Nyatakan saja kau sakit. Apa yang kau sembunyikan daripada mereka?
Aku……
Aku hanya inginkan
kebahagiaan mereka yang lain. Aku hanya ingin terlihat kuat di mata mereka.
Kerna, aku sayangkan mereka. Aku hanya ingin mereka faham dengan sendirinya.
Aku mahu perhatian mereka yang sayangkan aku. Aku ingin tertunainya hati mereka
dan hatiku. Aku perlukan bahu yang selesa untuk aku sandar. Aku mahu mereka
fahami aku ketika aku malu. Aku mahu mereka tahu betapa pentingnya mereka semua
dalam hidupku. Berhentilah amoi. Berhenti mengharapkan yang kadang-kadangnya
tidak akan kau dapati. Berhenti menjadi insan yang pentingkan diri sendiri.Jauh
disudut hati, ingin saja aku berputus asa. Tapi, mereka tidak pernah berputus
asa terhadapku. Kuatkan diri amoi.
Sedar daripada
pembedahan,bukan satu khayalan yang indah. Bangun disaat aku merasa tiada siapa
disisi, tiada siapa fahami diri. Sakit yang datang sendirinya seperti sakit itu
musuh dari zaman kecil yang dipendam berabad lamanya, dan sakit itu cuba
membalas dendamnya. Allah….!! Sakit ya Allah!. Semasa dalam CICU, melihat orang
lain berjalan seperti biasa pun menjadi kebencian diri. Aku bayangkan aku yang
berjalan. Aku bayangkan aku yang bercakap. Aku bayangkan aku yang ketawa, dan
aku bayangkan aku yang merawat pesakit..Betapa bersyukurnya andai itu aku.
Tapi, aku tidak boleh mengalah. Perkara pertama yang aku minta daripada doktor?
AIR. Ya Allah, betapa terdesaknya hati. Aku kehausan. Rasa seperti baru habis
berlari jauh di bawah panas terik. Kering dalam badan dan kesakitan yang tidak
dapat dibendung. Tapi, doktor bagitahu aku tidak boleh minum sehinggalah corong
pada mulut dibuka. Corong itulah yang buat aku mengerang malam-malam kerana
tidak dapat bernafas. Corong itu yang menghalang aku untuk minum air di waktu
itu.Aku benci pada corong itu. Penantianku satu malam seperti penantian seorang
kanak-kanak di Syria yang mengharapkan roti. Kini aku mengerti rasa itu. Dan
aku tahu yang aku seharusnya bersyukur dengan nikmat Allah. Allah hanya
membiarkan aku menunggu setitik air selama beberapa jam, dan aku mula mengerang
dan mengeluh seolah-olah tiada siapa yang boleh bantu aku walhal, kanak-kanak
itu masih boleh bermain dibawah panas terik menyimpan harapan yang tinggi untuk
memakan roti yang menjadi idaman mereka. Dikala itu, aku dihulur air berbagai
rasa saat corong sudah dibuka. Tidak bersyukur kah kau amoi? Aku tersiksa di
ICU…Ya Allah, aku tersiksa di ICU. Aku mencari harapan mereka yang diberikan
kepadaku sebelum ni, tapi tidak aku jumpa. Semuanya hilang oleh kesakitan yang
aku rasa saat itu. Waktu itulah aku faham kenapa arwah Amar Laila
mendedikasikan pembinaan pusat jantung di Sarawak ini. Tiada siapa yang dapat
merasa penderitaan pesakit jantung selain yang merasanya sendiri.
Selama ini, aku
percaya pada 1 prinsip yang sentiasa aku pegang sejak kecil. Manusia diberi
hanya dua pilihan dalam hidup mereka. Jalan yang baik dan jalan yang buruk.
Terpulang pada individu itu sendiri untuk memilih jalan hidupnya. Aku percaya
pada takdir Allah. Kita diberi peluang oleh Allah sebanyak yang mungkin untuk
kita sedar makna hidup. Mungkin ini cara-Nya menyedarkan aku. Alhamdulillah.
Sakit itu tetap sakit. Sebelum ini, Allah beri aku pilihan antara melakukan
pembedahan atau tidak. Dulu aku pilih tidak. Tapi Allah bagi petunjuk, dengan
menjadikan pilihan itu tiada. Tiada pilihan lain aku perlu lakukan pembedahan.
Pilihan yang kedua, diantara dua injap besi dan tisu, yang mana terbaik untuk
diri? Waktu itulah aku seperti cacing kepanasan mencari-cari jawapan untuk
pilihan. Kedua-dua pilihan ku tiada pilihan. Tisu, risikonya pembedahan kali
kedua. Besi, risikonya pendarahan yang menyebabkan strok/ ambik darah setiap bulan/
minum ubat seumur hidup dan…tidak digalakkan mengandung. Hanya mampu teriak
dalam ketawa. Apa ini ya Allah?...Pengakhirannya???
Aku memilih injap
besi dan menjadikan aku masih berbaring di atas katil hospital mengharapkan
keajaiban. Sekarang, semuanya sudah selesai. Tapi masih dalam kesakitan. Hanya
kepekatan darah yang ditunggu sehingga bacaan 3. Darah baru 2.44.. Lamanya lagi
amoi. Tiap hari kena sedut alat sehinggalah 3 bola itu naik. Setiap hari aku
kena biasakan diri dengan sakit ini. Aku terpaksa lawan. Bila ditanya skor
sakit, boleh saja aku katakan 10/10. Kerna sakit ini bukan sakit yang aku fikirkan
akan sakit seperti ini. Jujur aku katakan, seandainya aku dibagi pilihan untuk
memindahkan sakit ini kepada sesiapa, aku tidak akan pernah mahu untuk
memindahkannya. Senyum tawa manusia itu jadi indah bagiku bila melihat mereka sihat
dan menikmati hidup. Aku Aisyah Ahang. Seorang pesakit jantung yang masih dalam
rawatan. Mengharapkan kesihatan pulih sepenuhnya seperti sedia kala. Berat mata
memandang, berat lagi bahu memikul…aku insan yang memikul, tidak mahu ada
teman. J